Strategi terima guna awan perlu dilaksana untuk maksimumkan kelebihan

- NASIONAL - 27/09/2023

PUTRAJAYA – Dalam usaha meningkatkan produktiviti dan pembangunan negara, kerajaan perlu merancang strategi penimagunaan awam secara teliti bagi tujuan memaksimumkan kelebihan menangani segala perubahan yang bakal dihadapi. 

Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Aminuddin Hassim berkata, beliau tidak menafikan cabaran seperti kebimbangan mengenai keselamatan data serta keperluan kos tadbir urus dan pengurusan yang sewajarnya.

“Menerusi usaha memupuk kerjasama yang lebih erat, kita boleh memanfaatkan teknologi awan secara lebih baik, kita boleh menangani cabaran masa kini di samping bersedia menjangkakan dan mengharungi cabaran hari mendatang,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Sidang Kemuncak Awan Huawei Malaysia 2023 pada Rabu. 

Mengulas mengenai sidang kemuncak itu, Aminuddin berkata, ia merupakan contoh yang baik mengenai hasil yang mampu dicapai menerusi platform kerjasama, iaitu peluang berkongsi pandangan dan berdialog berkaitan amalan terbaik dalam menyelesaikan cabaran bersama.

Beliau berharap agar Huawei Malaysia dapat  meneruskan usaha baik dalam industri bersama-sama dengan rakan kongsi penting. 

“Usaha berkenaan baik untuk membangunkan infrastruktur dan ekosistem awan yang berkembang maju sekali gus meletakkan kita kukuh dalam mencapai matlamat kita menjadi Negara Digital berpendapatan tinggi dan sepenuhnya menjelang 2030,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Huawei Malaysia, Simon Sun berkata, Huawei yakin teknologi berperanan sebagai pemangkin ke arah perubahan yang positif. 

Katanya, pihaknya yakin Malaysia berkedudukan ideal untuk menjadi platform penting bagi rantau ini.

“Banyak kejayaan perkongsian strategik kami termasuk yang melibatkan organisasi terkemuka di negara ini seperti Sunway, Tune Insurance dan rakan kongsi global kami, XRender,” katanya.

Huawei Cloud yang diasaskan pada 2017 adalah antara lima penyedia teknologi awan utama di dunia, meliputi 83 zon ketersediaan di 29 wilayah geografi merangkumi Asia Pasifik, Eropah, Timur Tengah, Amerika Latin dan Afrika selain menawarkan perkhidmatan kepada pelanggan di lebih 170 negara di seluruh dunia.

TAGS: