TH kini diurus dengan baik, MOF mula perbincangan serah semula aset institusi pengurusan haji

- NASIONAL - 29/09/2023

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan kerajaan akan mengadakan perbincangan untuk menyerahkan semula sebahagian aset Lembaga Tabung Haji (TH) yang sebelum ini telah dipindahkan ke sebuah syarikat tujuan khas (SPV) milik Kementerian Kewangan (MOF) pada tahun 2018.

Anwar berkata, pertimbangan itu dibuat setelah meneliti laporan awal yang mana TH kini telah diurus dengan baik.

Jelasnya, kepimpinan baharu TH telah berjaya mengurus institusi dengan cekap dan berintegriti sehingga berlakunya peningkatan pendeposit. 

“Setelah meneliti perkembangan dan bincang dengan Menteri (Hal Ehwal Agama) dan Pengerusi Lembaga TH, Tan Sri Azman Mokhtar, saya beri makluman awal jika TH diurus dengan baik, maka MOF akan memulakan perbincangan supaya menyerahkan semua aset yang dipegang SPV.

“Ini juga mematikan fitnah amat tidak bertanggungjawab pada Menteri Kewangan ketika itu (Lim Guan Eng) dan kerajaan ketika itu seolah-olah memindahkannya pada kelompok bukan Islam. Tidak, saya lihat rekodnya, dan di MOF,  ia masih dalam pegangan MOF, sekarang saya pegang amanahnya,” katanya. 

Beliau berkata demikian sewaktu berucap melancarkan sambutan Ulang Tahun Jubli Intan Lembaga TH yang ke-60 di Menara TH hari ini yang turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar pada Jumaat. 

TAGS: