Kerajaan peruntuk RM200 juta tingkat pengeluaran industri makanan tempatan

- TERKINI - 27/07/2023

PUTRAJAYA –  Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM200 juta di bawah Agrobank sebagai sokongan kepada industri makanan tempatan untuk meningkatkan pengeluaran.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pemberian berkenaan secara tidak langsung dapat membantu industri menyediakan kemudahan pembiayaan khususnya bagi aplikasi teknologi moden pertanian.

Bukan itu sahaja, Anwar turut menjelaskan bahawa kerajaan juga akan memberi tumpuan kepada usaha menambah baik Tahap Sara Diri (SSL) serta meningkatkan keterjaminan makanan.

“Perkara itu perlu dilaksanakan dengan menambah keluasan tanaman tetapi mengoptimum penggunaan tanah perladangan sedia ada.

“Selain itu, daya tahan sektor agro makanan dan produktiviti melalui aplikasi teknologi pertanian dapat ditingkatkan untuk manfaat petani kecil.

“Ini termasuklah pendekatan pertanian regeneratif, tanaman berdaya tahan iklim serta penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI),” katanya dalam Majlis Peluncuran Ekonomi Madani: Memperkasakan Rakyat, pada Khamis.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan telah mengumumkan komitmen menambah baik infrastruktur pengairan kawasan  Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) di Kedah dan Perlis bagi meningkatkan produktiviti pengeluaran padi kepada lima musim dalam tempoh dua tahun melibatkan prasarana bernilai RM3 bilion.

Menurutnya, negara kaya dengan khazanah alam dan mempunyai hutan tertua di dunia.

“Sektor perladangan dan industri hiliran merupakan sumber penting ekonomi namun kita perlu menilai semula pendekatan kita terhadap penggunaan tanah.

“Setakat ini, sejumlah 5.7 juta hektar tanah digunakan bagi tanaman kelapa sawit dan hampir dua juta hektar lagi bagi tanaman getah,” ujarnya.

Beritahu Anwar lagi, antara ikhtiarnya adalah untuk mencipta aset biodiversiti dalam pasaran perdagangan karbon melalui usaha pemuliharaan dan penghutanan semula.

TAGS: