Himpunan Pembangkang Aman Bukti Demokrasi Malaysia Makin Matang – Adam Adli

27/07/2025
2 mins read

KUALA LUMPUR- Kebenaran berhimpun yang diberikan kepada pihak pembangkang baru-baru ini tanpa sebarang kekangan mahupun tindakan keras telah menandakan satu anjakan dalam sejarah demokrasi negara.

Peristiwa itu mencerminkan perubahan besar yang sedang berlaku di bawah pentadbiran kerajaan Madani yang menekankan keadilan, keterbukaan dan kesediaan mendengar suara rakyat.

Pengarah Komunikasi KEADILAN, Adam Adli, menyifatkan perkembangan ini sebagai bukti nyata bahawa Malaysia sedang meninggalkan zaman gelap yang pernah membungkam suara rakyat.

“Malaysia pernah melalui zaman di mana suara dibungkam, perhimpunan dibedil, dan perbezaan pendapat dijenayahkan,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada 27 Julai 2025.

Menurut beliau, kini rakyat tidak lagi perlu berdepan dengan kekerasan ketika menyatakan pendapat melalui perhimpunan seperti yang pernah berlaku sebelum ini.

“Di era Madani, pembangkang dan penyokongnya dibenarkan berhimpun secara aman di ibu kota tanpa gangguan, tanpa kekerasan.”

“Ini bukan kelemahan pentadbiran, ini kekuatan demokrasi sebenar.”

Beliau menjelaskan bahawa kebebasan yang diberikan kepada rakyat untuk menyuarakan pendapat secara aman membuktikan keikhlasan kerajaan dalam menjunjung semangat demokrasi.

“Kerajaan Madani telah menzahirkan ruang demokrasi yang bukan hanya dilaungkan, tetapi benar-benar dirasai.”

“Hak untuk berhimpun dan bersuara kini menjadi satu norma yang dihormati dan dilindungi.”

Adam berkata, pengurusan himpunan tersebut tanpa sebarang kekasaran atau intimidasi fizikal turut membuktikan kematangan institusi keselamatan negara.

“Dalam suasana baharu ini, Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim turut menzahirkan penghargaan kepada anggota keselamatan di lapangan.”

“Kehadiran mereka tanpa pemedih mata, belantan dan perisai rusuhan adalah cerminan kematangan institusi kita; mengangkat peranan anggota keselamatan sebagai komponen penting dalam ekosistem demokrasi negara.”

Menurut beliau lagi, cita-cita kerajaan Madani tidak terhenti pada kebebasan sivil sahaja, tetapi turut mencakupi aspek kehidupan yang lebih luas dan menyeluruh.

“Cita-cita Madani bukan sahaja menjamin hak sivil, tetapi juga hak kehidupan rakyat.”

“Usaha kerajaan dalam isu kos sara hidup, pembasmian kemiskinan, reformasi ekonomi, pendidikan, dan pekerjaan adalah bukti komitmen berterusan kepimpinan negara.”

Adam juga menyentuh tentang kejayaan Malaysia di pentas antarabangsa yang kini kembali mendapat kepercayaan setelah melalui fasa pemulihan pasca pandemik.

“Di pentas dunia, kepemimpinan Perdana Menteri dan kerajaan mulai berhasil mengangkat semula imej Malaysia sebagai sebuah kuasa ekonomi yang stabil dan diyakini negara luar pasca pandemik.”

“Peranan kita kembali diiktiraf, suara kita kembali didengari.”

Namun, beliau tidak menafikan bahawa kebangkitan ini mungkin mencetuskan rasa kurang senang dalam kalangan pihak yang gagal menawarkan alternatif lebih baik.

“Ini mungkin meresahkan pembangkang.”

“Ketika kerajaan sibuk memulihkan negara, pembangkang ketandusan hala tuju.”

“Lantas, strateginya dialihkan kepada mencipta ketidaktentuan dan permainan persepsi – tidak dengan dasar alternatif yang lebih baik, hanya serangan ke atas personaliti.”

Beliau menyifatkan tindakan pembangkang yang cuba menanam rasa ragu dalam kalangan rakyat sebagai tindakan yang tidak bertanggungjawab dan tidak selari dengan nilai politik matang.

Adam menegaskan bahawa KEADILAN tidak menganggap himpunan pembangkang itu sebagai cabaran terhadap kerajaan, sebaliknya ia menjadi petunjuk kepada berakhirnya era pemerintahan autokratik.

“KEADILAN melihat himpunan ini bukan sebagai ancaman, tetapi lambang perubahan budaya politik yang dahulunya pernah dibelenggu pemerintahan kuku besi.”

Menurut beliau, perbezaan pandangan adalah sesuatu yang sihat dan perlu wujud dalam sebuah sistem yang menghormati suara semua pihak.

“Perbezaan pandangan harus diraikan.”

“Dalam demokrasi, suara yang menyokong mahupun menentang; kedua-duanya penting dan wajar dilindungi.”

Beliau berkata kerajaan telah membuktikan bahawa ia mampu membuka ruang untuk semua pandangan, termasuk yang berbeza dan bertentangan.

“Kerajaan telah membuktikan kemampuan untuk memelihara ruang demokrasi.”

“Persoalannya, mampukah pembangkang melakukan perkara yang sama?”

“Mahukah pembangkang mendidik penyokongnya menjadi adil dan celik, di samping mendisiplinkan wakil rakyatnya di Parlimen dengan hujah yang lebih baik?”

Katanya lagi, suasana politik semasa memperlihatkan bahawa seluruh rakyat, tidak kira di mana mereka berada atau bagaimana mereka bersuara, sedang mengambil bahagian dalam menentukan arah tuju negara.

“Hari ini, sama ada yang berhimpun di ibu kota, yang memerhati di ceruk desa, atau yang menentang di ruang maya; kita semua telah mencorak suatu peristiwa penting.”

“Kita sedang membina sebuah negara yang lebih terbuka, matang, dan adil.”

Adam menyatakan bahawa Malaysia kini berada pada landasan yang betul menuju masa depan yang lebih demokratik dan inklusif.

“Inilah semangat Madani; ruang untuk rakyat bersuara tanpa takut, dan kerajaan yang bersedia mendengar tanpa angkuh.”

Himpunan aman tanpa sekatan ini menandakan bahawa kerajaan kini berani menerima kritikan terbuka dan tidak lagi mengamalkan sikap membungkam pandangan berbeza.

Era Madani terus menonjolkan identitinya sebagai pentadbiran yang meletakkan suara rakyat sebagai asas utama dalam proses membuat keputusan negara.

Jangan Ketingalan >>

Keselamatan Jutaan Pengguna Internet di Malaysia Lebih Terjamin Melalui Perlesenan Perkhidmatan Media Sosial

KUALA LUMPUR – Tindakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC)

Kerajaan bakal umum pelaburan RM25 bilion pada Khamis – Rafizi

SHAH ALAM – Kerajaan akan mengumumkan pelaburan berjumlah sebanyak RM25