Malaysia raih pelaburan berjumlah RM37.4 bilion dalam sektor digital

- NASIONAL - 25/09/2023

PUTRAJAYA – Setakat Ogos 2023, Malaysia meraih pelaburan berjumlah lebih RM37.4 bilion merentasi pelbagai sektor teknologi digital dan dijangka bakal mewujudkan sekurang-kurangnya 15,895 peluang pekerjaan bernilai tinggi.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, pencapaian luar biasa itu mencerminkan keyakinan pelabur asing terhadap rangka kerja Malaysia Digital (MD). 

“Baru-baru ini saja, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyaksikan majlis menandatangani tiga memorandum persefahaman (MoU) bernilai RM19.84 bilion antara syarikat Malaysia dan China. 

“Memorandum berkenaan akan mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai destinasi menarik untuk pelaburan,” katanya semasa merasmikan Malaysia Digital Expo (MDX) 2023, pada Isnin.

Sementara itu, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dalam satu kenyataan memberitahu MDX 2023 merupakan inisiatif utama di bawah MD yang bertujuan untuk menjadikan Malaysia sebagai negara digital utama di rantau ASEAN.

Kata kenyataan itu, ia menyediakan platform kepada syarikat tempatan dan antarabangsa untuk bekerjasama dan meneroka peluang baharu dalam ekonomi digital serta mempamerkan aset digital Malaysia untuk menarik pelaburan digital bernilai tinggi. 

“Bermula hari ini hingga 8 Nov, 2023, MDX 2023 akan menampilkan beberapa siri acara yang akan diadakan di seluruh negara, termasuk persidangan, bengkel, pameran dan sesi rangkaian, yang kemudiannya diakhiri dengan majlis anugerah dan makan malam eksklusif MDX,” kata kenyataan itu. 

Acara itu dijangka menarik lebih 150,000 peserta dari seluruh dunia, termasuk pelabur, usahawan, pemula niaga teknologi, persatuan perdagangan, penggubal dasar dan profesional digital.

TAGS: