PM Anwar Gesa Rakyat Sokong Misi Kemanusiaan Gaza, Bukan Cetus Perpecahan

10/10/2025
1 min read

PUTRAJAYA – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta semua pihak agar tidak meragui peranan aktivis tempatan dalam misi bantuan ke Palestin, termasuk tidak mempersoal kedatangan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump sempena Sidang Kemuncak ASEAN yang dijadualkan hujung bulan ini.

Beliau berkata, sewaktu dunia memberi tumpuan kepada usaha memuktamadkan damai di Gaza, rakyat Malaysia perlu memperbanyakkan doa untuk kejayaan usaha tersebut dan tidak menambah polemik politik yang merugikan.

“Seluruh komuniti antarabangsa — Mesir, Qatar dan Hamas antaranya — sedang memastikan proses damai mencapai kejayaan,” katanya.

“Oleh itu, kita di Malaysia juga harus memilih jalan yang sama, yakni berdoa agar segala urusan dipermudahkan,” jelas beliau.

“Jangan menolak lawatan itu (Trump), kerana kita sedang memohon sokongan semua pihak, termasuk Trump sendiri, supaya perjanjian berkenaan dapat ditandatangani dan dilaksana,” katanya ketika bercakap kepada wartawan selepas solat di sini pada Jumaat.

Anwar menegaskan, ketika Hamas menunjukkan kesediaan terhadap perdamaian, tidak kena pada tempatnya jika wujud usaha di Malaysia yang mengundang perpecahan.

“Ramai terbunuh, wilayah dirampas, wanita dan kanak-kanak menjadi korban … perkara ini yang mesti kita hentikan dahulu,” tegasnya.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada para sukarelawan Malaysia yang menaiki kapal-kapal flotila bantuan ke Gaza, menyifatkan tindakan mereka sebagai sarat keberanian dan pengorbanan.

“Tidak semua sanggup mempertaruh nyawa demi rakyat Gaza … sebab itu kepada yang membantu, kita ucap terima kasih dan terus mendoakan mereka,” katanya.

“Itulah akhlak yang seharusnya ditunjukkan oleh umat Islam dan rakyat Malaysia keseluruhannya,” tambah beliau.

Anwar turut menyatakan bahawa proses memastikan kepulangan sembilan rakyat Malaysia yang ditahan Israel pada Rabu (8 Okt) sedang diusahakan dengan bantuan Presiden Türkiye, Recep Tayyip Erdogan.

“Kita berdoa … Insya-Allah mereka akan selamat tiba di Istanbul … dan saya akan mengumumkan (perkembangan baharu) pada sesi Belanjawan 2026,” katanya.

Jangan Ketingalan >>

Malaysia tidak akan memihak, bebas dalam pertikaian negara AS dengan China – Anwar Ibrahim

PUTRAJAYA – Malaysia merupakan sebuah negara berdaulat dan berhak untuk

Peruntukan RM10 juta untuk PKEB bimbing B40 berniaga – Kor Ming

PUTRAJAYA – Program Pemerkasaan Ekonomi Komuniti Bandar (PEKB) tahun ini